Quote Of The Day

My Slide

Showing posts with label fifa. Show all posts
Showing posts with label fifa. Show all posts

Tuesday, April 21, 2009

Rajagobal jadi pilihan FAM ganti Sathia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pengendali skuad bawah 23, K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, semalam pelantikan yang disifatkan sebagai kenaikan pangkat setelah sekian lama membimbing skuad remaja.


Walaupun dilihat selaku pilihan terakhir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan sudah cuba mendapatkan jurulatih Shahzan Muda, Dollah Salleh, Rajagobal menegaskan dia bersedia memikul tugas berat itu. Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka teki mengenai calon lain yang dikaitkan dengan jawatan tersebut sebelum ini termasuk Mohd. Azraai Khor Abdullah (Kedah), K. Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda).


"Saya percaya masanya sudah tiba untuk saya mengambil alih tanggungjawab bersama skuad senior," kata Rajagobal yang sebelum ini turut dinamakan sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23) pada 11 April lalu.


Rajagobal, yang ditawarkan kontrak dua tahun dengan pilihan untuk dilanjutkan setahun lagi, juga memberi gambaran dia akan menyerapkan sebahagian besar pemain skuad B-23 untuk membentuk pasukan senior kebangsaan kerana mahu pemain memperoleh bekalan aksi antarabangsa mencukupi sebelum ke Sukan Sea Laos, Disember ini.


Tugasan pertama Rajagobal bersama skuad senior adalah aksi persahabatan dengan Manchester United pada 18 Julai ini, manakala ujian pertama bersama pasukan B-23 adalah saingan Piala Antara Benua dari 1 hingga 14 Jun ini.

"Bagi saya, perlawanan dengan United akan membolehkan saya menilai keupayaan pemain apabila berdepan dengan lawan pada tahap lebih tinggi dan saya rasa ia adalah ujian penting buat pemain menjelang Sukan Sea serta kelayakan Piala Asia dengan Uzbekistan, November ini.

"Kebanyakan pemain B-23 akan juga membentuk skuad kebangsaan memandangkan sasaran utama tahun ini adalah Sukan Sea Disember ini dan ia juga membolehkan mereka beraksi dalam beberapa kejohanan sebelum ke Laos," kata Rajagobal.

Bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu juga memulakan sesi latihan skuad B-23 pertama di Wisma FAM semalam dengan 26 pemain dipanggil untuk fasa pertama yang menumpukan perhatian terhadap aspek kecergasan.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad turut mengumumkan skuad senior kebangsaan akan dihantar beraksi di Pestabola Merdeka Ogos ini walaupun sebelum ini berhajat untuk hanya menghantar skuad B-23.

Ia jelas isyarat yang membuktikan badan induk itu akhirnya akur ranking dunia skuad negara tidak akan meningkat sekiranya hanya mengirim barisan skuad B-23 menghadapi kejohanan itu dan ia diakui sendiri Redzuan semalam.

"Kami tidak mahu situasi seperti 2007 berulang apabila muncul juara tetapi ia tidak dikira Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), kerana ketika itu kami tidak membariskan skuad kebangsaan," kata Redzuan.

Wednesday, February 4, 2009

Al-Fatihah...

Nazri Abdullah meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah Jabatan Pengadil, Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Mohd. Nazri Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung di Las Palmas, Canary Island, Sepanyol malam, semalam.

Nazri, 54, yang juga dianggap pengadil bola sepak paling terkemuka Malaysia, pernah berkhidmat dalam dua kejohanan Piala Dunia (France 1998 dan 2002 Japan-South Korea) serta pernah menjadi pengajar dan penilai kejurulatihan AFC dan FIFA.

Kenyataan dalam laman web AFC, semalam menyebut Mohd. Nazri menghembuskan nafas terakhir ketika menjalankan tugas sebagai penyelia Seminar Pengadil dan Penolong Pengadil Afrika Selatan Piala Dunia FIFA 2010 di bandar raya Sepanyol itu.

Tokoh bola sepak yang amat disegani di Asia ini pernah menyandang jawatan Pengarah Pengadil AFC dari Julai 2005 hingga Februari 2007. Semasa memegang jawatan itu, beliau banyak terlibat dalam usaha meningkatkan standard pengadilan di Asia.

Nazri, yang dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik AFC pada 1995, dilahirkan pada 23 Jan 1955 di Kuala Kedah dan mula melibatkan diri dalam bidang pengadilan bola sepak ketika berusia 17 tahun.

Nazri mendapat lesen pengadil FIFA pada 1989 yang melayakkan beliau menjadi pengadil bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia dan perlawanan pusingan akhir Piala Dunia.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Dalam perutusan takziahnya kepada keluarga dan sahabat handai Nazri, Presiden AFC, Mohamed Hammam berkata, Nazri adalah seorang pengadil yang hebat serta memiliki kefahaman mendalam tentang bola sepak dan undang-undangnya.

"Sebagai pengarah Jabatan Pengadil AFC, beliau telah berusaha bagi meninggikan tahap pengadilan," kata Hammam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil AFC, Yousuf Al Serkal pula berkata, kematian Nazri merupakan kehilangan besar bagi bola sepak Asia memandangkan beliau telah memberi sumbangan besar terhadap bola sepak Asia melalui pelbagai jawatan yang disandangnya.

Sementara itu, menurut laman web FAM, jenazah Nazri dijangka tiba di rumahnya di No. 22, Jalan PJS9/14, Bandar Sunway malam ini dan akan disemadikan esok.ALFATIHAH...