Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pengendali skuad bawah 23, K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, semalam pelantikan yang disifatkan sebagai kenaikan pangkat setelah sekian lama membimbing skuad remaja.
"Saya percaya masanya sudah tiba untuk saya mengambil alih tanggungjawab bersama skuad senior," kata Rajagobal yang sebelum ini turut dinamakan sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23) pada 11 April lalu.
Tugasan pertama Rajagobal bersama skuad senior adalah aksi persahabatan dengan Manchester United pada 18 Julai ini, manakala ujian pertama bersama pasukan B-23 adalah saingan Piala Antara Benua dari 1 hingga 14 Jun ini.
"Bagi saya, perlawanan dengan United akan membolehkan saya menilai keupayaan pemain apabila berdepan dengan lawan pada tahap lebih tinggi dan saya rasa ia adalah ujian penting buat pemain menjelang Sukan Sea serta kelayakan Piala Asia dengan Uzbekistan, November ini.
"Kebanyakan pemain B-23 akan juga membentuk skuad kebangsaan memandangkan sasaran utama tahun ini adalah Sukan Sea Disember ini dan ia juga membolehkan mereka beraksi dalam beberapa kejohanan sebelum ke Laos," kata Rajagobal.
Bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu juga memulakan sesi latihan skuad B-23 pertama di Wisma FAM semalam dengan 26 pemain dipanggil untuk fasa pertama yang menumpukan perhatian terhadap aspek kecergasan.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad turut mengumumkan skuad senior kebangsaan akan dihantar beraksi di Pestabola Merdeka Ogos ini walaupun sebelum ini berhajat untuk hanya menghantar skuad B-23.
Ia jelas isyarat yang membuktikan badan induk itu akhirnya akur ranking dunia skuad negara tidak akan meningkat sekiranya hanya mengirim barisan skuad B-23 menghadapi kejohanan itu dan ia diakui sendiri Redzuan semalam.
"Kami tidak mahu situasi seperti 2007 berulang apabila muncul juara tetapi ia tidak dikira Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), kerana ketika itu kami tidak membariskan skuad kebangsaan," kata Redzuan.
No comments:
Post a Comment