Quote Of The Day

My Slide

Wednesday, February 4, 2009

Al-Fatihah...

Nazri Abdullah meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Bekas pengarah Jabatan Pengadil, Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Mohd. Nazri Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung di Las Palmas, Canary Island, Sepanyol malam, semalam.

Nazri, 54, yang juga dianggap pengadil bola sepak paling terkemuka Malaysia, pernah berkhidmat dalam dua kejohanan Piala Dunia (France 1998 dan 2002 Japan-South Korea) serta pernah menjadi pengajar dan penilai kejurulatihan AFC dan FIFA.

Kenyataan dalam laman web AFC, semalam menyebut Mohd. Nazri menghembuskan nafas terakhir ketika menjalankan tugas sebagai penyelia Seminar Pengadil dan Penolong Pengadil Afrika Selatan Piala Dunia FIFA 2010 di bandar raya Sepanyol itu.

Tokoh bola sepak yang amat disegani di Asia ini pernah menyandang jawatan Pengarah Pengadil AFC dari Julai 2005 hingga Februari 2007. Semasa memegang jawatan itu, beliau banyak terlibat dalam usaha meningkatkan standard pengadilan di Asia.

Nazri, yang dinobatkan sebagai Pengadil Terbaik AFC pada 1995, dilahirkan pada 23 Jan 1955 di Kuala Kedah dan mula melibatkan diri dalam bidang pengadilan bola sepak ketika berusia 17 tahun.

Nazri mendapat lesen pengadil FIFA pada 1989 yang melayakkan beliau menjadi pengadil bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia dan perlawanan pusingan akhir Piala Dunia.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Dalam perutusan takziahnya kepada keluarga dan sahabat handai Nazri, Presiden AFC, Mohamed Hammam berkata, Nazri adalah seorang pengadil yang hebat serta memiliki kefahaman mendalam tentang bola sepak dan undang-undangnya.

"Sebagai pengarah Jabatan Pengadil AFC, beliau telah berusaha bagi meninggikan tahap pengadilan," kata Hammam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil AFC, Yousuf Al Serkal pula berkata, kematian Nazri merupakan kehilangan besar bagi bola sepak Asia memandangkan beliau telah memberi sumbangan besar terhadap bola sepak Asia melalui pelbagai jawatan yang disandangnya.

Sementara itu, menurut laman web FAM, jenazah Nazri dijangka tiba di rumahnya di No. 22, Jalan PJS9/14, Bandar Sunway malam ini dan akan disemadikan esok.ALFATIHAH...

No comments: