Quote Of The Day

My Slide

Thursday, January 22, 2009

JANJI OBAMA...semoga ianya bukan janji PALSU...

Obama janji baiki hubungan dengan dunia Islam

WASHINGTON 21 Jan. – Presiden Barack Obama berjanji untuk memperbaiki hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan dunia Islam dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan semalam.

Beliau berjanji untuk membuka lembaran baru dalam perhubungan dengan dunia Islam berikutan ketegangan yang menyusuli serangan 11 September 2001 di AS serta perang di Iraq dan Afghanistan semasa pentadbiran Presiden George W. Bush.

“Kepada dunia Islam, kami mahukan arah tuju baru, berdasarkan kepentingan bersama dan sikap saling menghormati,” kata Obama semalam.

Obama, seorang penganut Kristian, menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanaknya di Indonesia selepas ibunya, Ann Dunham berkahwin dengan seorang lelaki Indonesia beragama Islam, Lolo Soetoro.

“Kepada mereka yang memegang kuasa menerusi rasuah dan penipuan dan menyekat suara penentang, ketahuilah sejarah tidak akan menyebelahi anda.

“Namun kami akan menghulurkan bantuan jika anda bersedia untuk melepaskan cengkaman,” kata Presiden kulit hitam pertama AS itu.

Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) mengalu-alukan ikrar Obama untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan dunia Islam.

“Kami berharap kenyataan positif itu diiringi dengan perubahan dalam dasar Amerika terhadap dunia Islam, akan membantu memperbaiki imej negara kita dan membawa kepada masa depan yang lebih selamat dan makmur untuk seluruh umat manusia,” kata Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad.

Ahli Kongres Islam pertama AS, Keith Ellison berkata, kenyataan Obama itu merupakan tanda muhibah penting kepada umat Islam di AS dan serata dunia.

“Saya yakin ikrar beliau itu boleh menjejaskan usaha al-Qaeda untuk menarik anggota baru kerana mesej mereka bergantung kepada kejayaan memburukkan AS sebagai negara yang memusuhi Islam dan dunia Islam,” kata Ellison.

Tokoh Demokrat dari Minnesota itu percaya usaha Obama kelak untuk mengeratkan hubungan dengan dunia Islam akan menyukarkan al-Qaeda untuk terus menyebarkan mesej anti-Amerika. – Reuters

No comments: