PUTRAJAYA: Pendekatan prinsip 6M akan diberi tumpuan oleh semua agensi agama bagi memastikan agensi berkenaan serba boleh dan sentiasa memandang ke hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, hari ini.
Beliau berkata, prinsip 6M itu ialah musyatarah (menepati syarat kejayaan), mua'tabah (menghakis sifat-sifat buruk), Mu'aqabah (mengekalkan tindakan yang benar), muraqobah (mengawal diri secara berterusan), muhasabah (menilai diri) dan muhajadah (bersungguh-sungguh).
Dalam amanat sulungnya pada perhimpunan bulanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, katanya prinsip ini adalah komitmen untuk melahirkan keseragaman ketetapan dan matlamat serta pendapat yang merupakan cabaran besar yang perlu ditangani oleh semua agensi ini.
"Ia juga akan menjadi panduan untuk bersikap tegas dan jelas tanpa sebarang kompromi dalam perkara yang menjurus kepada kerosakan organisasi," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan itu, Jamil berkata beliau yakin prinsip itu dapat memperkukuhkan lagi agensi agama di negara ini.
"Pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan digunakan untuk mengukur kejayaan pelaksanaan prinsip 6M itu," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment