Quote Of The Day

My Slide

Friday, March 20, 2009

Mawar Berduri...Episod 4

“Ianya adalah bercinta untuk berkahwin dan lahirkan anak–anak yang dididik dengan cara hidup Islam, baitul Muslim” jawab Syaqiera spontan.
“Itu natijah cinta kerana Allah. Kak Asrar bertanyakan ciri- ciri cinta kerana Allah. Ciri-ciri yang akak maksudkan itu adalah cara bercinta itu sendiri yang dikatakan kerana Allah,” Khazinatul Asrar makin membuka minda mereka.
“Apa pendapat Kak Asrar tentang itu?” Sayyidah minta kepastian.
“Kadang–kadang manusia tersalah menganggap cintanya kerana Allah padahal percintaannya menyebabkan makhluk Allah lebih diagungkan daripada Pencipta makhluk itu sendiri. Allah diketepikan. Mungkin matlamatnya dah betul dan jelas, tapi jalannya tak syaro’. Itulah yang disedihkan.
Dalam Islam ada beberapa perkara yang perlu disegerakan. Pertama, apabila solat telah masuk waktunya. Kedua, apabila jenazah hendak dikebumikan. Dan ketiga, apabila anak gadis telah bertemu calon suaminya. Kalau dilambatkan, buruk padahnya. Kita boleh buat satu conclusion, salah satu ciri – ciri cinta kerana Allah ialah apabila pasangan segera dijodohkan. Kuranglah maksiat hati yang sering dilakukan ketika percintaan.”
“Tapi, takkan nak kahwin masa tengah belajar lagi ni?” getus Yusro
“Kalau dah tak tahan apa salahnya…tapi, kalau rasa masih tak sedia, baik jangan berani untuk bercinta lagi,” nasihat Khazinatul Asrar.
“Kalau dah terjebak macam Ziana ni?” gerutu Roziana.
“ Ziana, jatuh cinta tak salah. Perasaan tu anugerah Allah. Tapi kalau Ziana rasa ianya boleh melalaikan tentu ada perbuatan-perbuatan yang salah, yang Allah tak redhai. Muhasabah balik. Sentiasalah berdoa pada Allah agar memelihara perasaan cinta tu sebagaimana yang Dia kehendaki, yang tak menjauhkan Ziana dari–Nya. Allah Maha Penyayang,” jelas Khazinatul Asrar.
“Praktikalnya?” Roziana mahu lebih jelas.
“Kikislah keaiban–keaiban cinta seperti hari–hari bergayut di telefon, bermujahadah untuk buang nama si dia dalam solat dan sebagainya… Buatlah secara perlahan–lahan dan penuh kerelaan kerana takut dan cintakan Allah. Kak Asrar faham, Ziana perlukan masa untuk merubah situasi sedia ada. Bukan secara mendadak. Tak apalah…selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Yakin dengan Allah,” senyum berputik di bibir.
Kemudian barulah Khazinatul Asrar masuk pada silibus usrah. Dia gembira dengan amanah sebagai Naqibah lantaran menyedari taklifan itu pernah terpikul di bahu Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W yang tercetus dirumah Al-Arqam bin Abi Al–Arqam. Dia tidak mahu terasing daripada golongan orang–orang yang sanggup meneruskan kesinambungan wasilah tarbiyyah Rasulullah.

No comments: