Quote Of The Day

My Slide

Wednesday, July 22, 2009

Mengenang kembali...Highland Tower bahagian II

Salah satu blok pangsapuri Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993

Jejak: Dua selamat, 48 penghuni terbunuh

HARI keempat operasi mencari dan menyelamat dijalankan dilalui dengan penuh kebimbangan oleh pasukan penyelamat.

Jika operasi gagal menjumpai mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, semakin tipis harapan menemui mangsa masih hidup.

Empat hari selepas permulaan kisah tragis runtuhan pada jam 1.30 petang Sabtu itu, bau hanyir mayat manusia semakin kuat dan boleh dihidu pada jarak 150 meter dari tapak runtuhan pangsapuri.

Antara mayat mangsa tragedi Highlands Towers yang berjaya ditemui oleh anggota penyelamat

Pasukan penyelamat benar-benar mengejar masa memunggah timbunan konkrit dan besi untuk masuk ke dalam runtuhan itu dan mencari mangsa yang dipercayai masih hidup, berpandukan kepada ‘tanda-tanda kehidupan’ yang dikesan anggota Pasukan Keselamatan Awam Perancis dan anjing pengesannya, dua hari sebelum itu.

Bagaimanapun dengan bau mayat yang semakin kuat, semua pihak bersiap sedia menghadapi kemungkinan peluang mengeluarkan mangsa hidup semakin tipis.

Namun, ia tidak mematahkan semangat pasukan penyelamat dari Perancis, Jepun, Singapura dan tempatan yang terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang terperangkap dengan bantuan dua ekor anjing pengesan dan teknologi canggih.

Mereka juga menambah bilangan mesin pemecah konkrit dan keluli serta jentolak untuk mengangkut runtuhan konkrit bagi membuka laluan yang diharapkan membawa kepada penemuan mangsa.

Barang-barang penghuni yang berselerakan di sebalik runtuhan Highland Towers

Anggota pasukan penyelamat bergilir-gilir memasuki terowong di bawah timbunan runtuhan itu untuk mengesan mangsa tetapi belum berhasil. Mereka tidak dapat bertahan lama dan terpaksa meninggalkan terowong setelah berada hanya lima minit kerana tidak tahan bau yang semakin menusuk hidung.

Pasukan penyelamat dari Jepun melaporkan mereka tidak dapat mengesan sebarang pergerakan di bawah runtuhan sebelah kanan blok pangsapuri itu, walaupun dengan menggunakan ‘fibrescope’ yang dilengkapi kamera.

Alat berkenaan berupaya mengambil gambar atau objek di bawah tanah atau runtuhan bangunan tetapi tiada hasil menggalakkan diperoleh.

Sehingga hari kelima, pasukan penyelamat menjumpai enam mayat termasuk dua yang hancur menjadi cebisan daging dan tengkorak.

Lengan tangan kanan yang mempunyai gelang, satu tengkorak dan cebisan daging serta serpihan tulang ditemui Pasukan Penyelamat Malapetaka Jepun di tingkat lapan bahagian kanan bangunan pada jam 1.30 tengah hari.

Pihak penyelamat meletakkan mayat mangsa di atas pengusung untuk dihantar ke hospital untuk siasatan lanjut

Empat mayat yang reput dipercayai dua rakyat Korea dan dua rakyat tempatan, dikesan Pasukan Penyelamat Malapetaka Singapura di tingkat yang sama. Pasukan penyelamat Perancis yang ditugaskan di bahagian kiri bangunan tidak menemui sebarang mayat sehingga lewat petang tetapi ada mendengar ketukan daripada mangsa terperangkap yang dipercayai masih hidup.

Lengan dipercayai sebahagian anggota wanita dewasa dikeluarkan kira-kira jam 1.45 tengah hari dan dihantar ke HKL. Tengkorak kanak-kanak dipercayai berumur di antara tiga hingga lima tahun serta serpihan tulang lain ditemui di tingkat yang sama. Cebisan daging dan serpihan tulang itu adalah anggota badan lebih seorang mangsa.

Kakitangan HKL menurunkan mayat mangsa runtuhan Highland Towers

Patologi HKL mengesan cap jari daripada mayat yang ditemui pada hari berkenaan dan dihantar kepada pasukan penyiasat.

Operasi diteruskan berikutan pasukan penyelamat antarabangsa optimis masih ada mangsa yang hidup di bawah runtuhan. Bagaimanapun, sukar sekali penyelamat untuk menghampiri mereka kerana dihalang konkrit tebal. Petugas terpaksa menggunakan peralatan ringan dan tangan saja kerana bimbang punggahan konkrit menggunakan jentera menyebabkan binaan berat itu runtuh dan membahayakan mangsa.

Tarikh 17 Disember, pasukan pencari tidak lagi menemui sebarang tanda mangsa masih hidup. Ketukan dinding tidak lagi berbalas, penggunaan teknologi dan anjing pengesan juga menunjukkan hasil sama.

Usaha diteruskan dengan tujuan mengeluarkan mayat mangsa walaupun jauh di lubuk hati, mereka masih mengharapkan ‘keajaiban luar biasa’ untuk menemui mangsa yang terselamat dan hidup selepas hampir seminggu terperangkap.

Keesokannya, pasukan penyelamat menemui enam lagi mayat termasuk mayat seorang kanak-kanak dalam timbunan runtuhan pangsapuri Highland Towers. Mayat itu ditemui berhampiran tangki air berdekatan tempat letak kereta di pangsapuri yang terbenam.

Suasana di belakang blok Highland Towers yang runtuh yang meranapkan beberapa kenderaan penduduk.

Pasukan penyelamat kemudian menemui beberapa lagi mayat termasuk mayat wanita yang reput terbenam kira-kira lapan meter di tempat letak kereta pada jam 7 malam. Kakinya yang putus ditemui berdekatan.

Kebanyakan mayat yang ditemui dan dikesan dalam keadaan ngeri kemungkinan dihempap konkrit dan batu-batan ketika pangsapuri itu runtuh pada hari kejadian.

Pasukan penyelamat meneruskan kerja lebih agresif dengan menggunakan jentera berat sebagai usaha terakhir mencari mangsa terperangkap yang mungkin masih hidup.

Pada 20 Disember, 25 mayat termasuk seorang memeluk al-Quran, ditemui. Turut ditemui mayat seorang wanita memakai sari dan memeluk seorang kanak-kanak, dipercayai anaknya kira-kira jam 4.05 pagi.

Selepas 11 hari gerakan mencari dilakukan, akhirnya pasukan mencari dan menyelamat menghentikan gerakan mencari mangsa yang mungkin masih terperangkap sekitar jam 4.40 petang.

Bedah siasat ke atas 48 mayat mangsa runtuhan pangsapuri Highland Towers mengesahkan mereka terbunuh pada hari kejadian 11 Disember lalu kerana cedera parah dihempap serpihan konkrit dan batu-bata.

Empat puluh lapan mayat dicatat sebagai rekod akhir mangsa yang terkorban dengan hanya dua terselamat dalam tragedi terburuk dalam sejarah negara ini.

Kini, kejadian ngeri itu mungkin semakin dilupai masyarakat selepas 13 tahun berlalu tetapi bagi si lelaki yang tergamam menyaksikan sendiri runtuhan itu selain kebanyakan pasukan penyelamat, hatinya akan terdetik pilu tatkala mendengar perkataan ‘Highland Towers’.

Dua perkataan itu adalah sinopsis kepada sebuah kisah panjang petaka alam akibat kerakusan manusia mengejar pembangunan tanpa mempedulikan ‘kesakitan’ yang dilakukan terhadap alam sekitar.

Blok A pangsapuri itu tumbang berikutan berlaku gelungsuran tanah akibat aliran air pada bukit curam di belakang ketiga-tiga blok kondominium itu disebabkan reka bentuk tembok penahan tanah yang tidak baik dan tidak mencukupi ketika pangsapuri itu dibina.

Kelihatan beberapa buah kereta penghuni pangsapuri Highland Towers yang rosak akibat kejadian tersebut.

Dan ketika lelaki itu melihat masih ada alam sekitar yang dirosakkan sewenang-wenangnya atas nama pembangunan, hatinya berdetik ketakutan. Jelas manusia tidak pernah belajar daripada kesilapan.

2 comments:

noorafzan.blogspot.com said...

kamukah lelaki itu?
ngeri nyer tgk mala petaka highland tower..
syahdu dgr mayat peluk AlQuran...

AFIQ zainal said...

pastinya bukan...