Tengkorak manusia dalam beg plastik ditemui
ALOR STAR 3 Feb. - Seorang pengawal keselamatan di Hospital Alor Star terkejut apabila menemui tengkorak manusia di dalam sebuah beg plastik hitam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Ahmad Rozi Dahari, 25, sedang meronda di bahagian belakang hospital berkenaan sebelum terjumpa beg plastik itu.
"Saya terus membuka beg plastik itu dan ternampak satu tengkorak manusia yang kelihatan bersih dan berlubang pada bahagian tengahnya.
"Saya terkejut kerana ini merupakan kali pertama saya terjumpa benda pelik sewaktu bertugas sebagai pengawal keselamatan di sini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Ahmad Rozi, dia kemudian terus memberitahu penyelianya dan mereka segera memaklumkan perkara itu kepada polis.
"Saya tidak tahu berapa lama tengkorak itu berada di sini kerana saya selalu meronda di sekitar kawasan ini.
"Sebelum ini, saya tidak pernah nampak bungkusan beg plastik ini di kawasan tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Supritendan Abdul Ghafar Rajab berkata, polis tidak menolak kemungkinan tengkorak itu digunakan bagi tujuan pemujaan.
"Tengkorak itu disyaki milik orang dewasa dan mungkin telah lama berada di situ.
"Polis masih meneruskan siasatan bagi menentukan siapa pemilik tengkorak tersebut," katanya.
No comments:
Post a Comment